Make your own free website on Tripod.com

Informasi Pulau Langkawi

Pengenalan Pulau Langkawi
Lagenda Langkawi
Lagenda Pulau Dayang Buting
Lagenda Putri Dayang Sari
Misteri Telaga Tujuh
Lagenda Mat Chinchang Dan Mat Raya
Tempat Menarik di Langkawi
Perjalanan ke Langkawi

PENGENALAN PULAU LANGKAWI

Pulau Langkawi terdiri daripada kumpulan 99 buah pulau tropika yang terletak di luar pantai barat laut Semenanjung Malaysia dan jaraknya adalah 30 km dari Kuala Perlis dan 51 km dari Kuala Kedah. Pulau utama yang terletak dalam kepulauan ini dikenali sebagai Pulau Langkawi. Pulau yang dikurniakan dengan kekayaan pusaka merangkumi seribu lagenda dan misteri dari cerita burung besar dan garuda, pahlawan gagah perkasa dan puteri kayangan serta peperangan dan percintaan. Sebagai salah sebuah pulau yang tercantik didunia, pulau ini mempunyai ratusan gua yang dihiasi dengan ukiran semulajadi stalagmit dan stalaktit. Pantai berpasir putih yang panjang bermandikan limpahan cahaya matahari sepanjang hari menjanjikan ketenangan yang lengkap. Air laut yang jernih mengelilingi kepulauan ini memberikan peluang untuk menjalankan aktiviti dan rekreasi air serta keindahan kehidupan marin.

 

Rajah : Pulau Langkawi


Top

LAGENDA LANGKAWI


MAHSURI DAN SUMPAHAN TUJUH KETURUNAN
Mahsuri adalah anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Beliau telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri disebabkan oleh kecantikan serta penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya Mahsuri dihukum dengan hukuman mati. Pada hari hukuman, keris keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata. Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan.Kebenaran sumpah itu telah terbukti apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan. Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju sekali lagi setelah tujuh keturunan dalam kepayahan.

Top



LAGENDA PULAU DAYANG BUNTING
Lagenda pada pulau ini penuh dengan misteri dan mitosnya sendiri. Air dari tasik pulau ini dipercayai dapat merawat kemandulan dengan meminum atau mandi dengannya. Terdapat banyak versi cerita rakyat tentang asal-usul tasik ini namun lagenda Putri Dayang Sari adalah cerita yang termasyur.
 

LAGENDA PUTRI DAYANG SARI
Tasik ini adalah salah satu tempat yang menjadi pilihan utama Putri Dayang Sari, seorang puteri dari kayangan, bermain dan mandi. Pada satu hari, seorang putera raja iaitu Putera Teja telah terserampak dengan Putri Dayang Sari yang ketika itu bermain dan mandi ditasik tersebut. Putera Teja terpegun dengan kecantikan yang dimiliki oleh puteri dari kayangan itu dan beliau terus jatuh cinta. Putera Teja cuba memikat Putri Dayang Sari dengan puisi serta lagu-lagu yang indah lagi merdu tetapi tidak berjaya. Oleh kerana usahanya tidak berjaya, beliau telah berjumpa dengan cerdik pandai untuk mendapat nasihat memenangi hati puteri tersebut. Beliau telah disuruh membasuh mukanya dengan airmata puteri duyung. Apabila beliau telah berbuat demikian Putri Dayang Sari telah jatuh cinta dengan kecantikan yang dimilik oleh Putera Teja. Selepas berkahwin, Putri Dayang Sari telah mengandung. Bayi yang dikandungnya itu telah mati ketika dilahirkan dan beliau merasakan parkahwinannya ini adalah merupakan satu tipu helah. Selepas mengkebumikan bayi tersebut didalam tasik ini, Puteri Dayang Sari yang mempunyai penawar kemandulan telah kembali kekayangan dan tidak kembali lagi.

 

Top


MISTERI TELAGA TUJUH
Telaga Tujuh atau The Seven Wells adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

Top

LAGENDA MAT CHINCHANG DAN MAT RAYA
Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz yang besar serta kekuatan tenaga yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik. Lagenda meraka bermula, apabila Mat Raya bercadang mengadakan kenduri sempena pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya. Akibatnya, persahabatan dua keluarga ini telah terputus dan wujud permusuhan yang hebat serta pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan dua keluarga ini telah mengubah kawasan dipulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampak dinamakan Tanjung Cincin. Kawasan dimana peralatan memasak itu pecah dinamakan Kampung Belanga Pecah, kuah yang mengalir itu
dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Mat Sawar yang cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.

Top

 

PERJALANAN KE LANGKAWI


Melalui jalan raya
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Kedah akan mengambil masa selama 6 hingga 7 jam manakala 8 jam dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis. Bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri, tempat letak kereta untuk pelancong disediakan di Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Selepas itu bolehlah mengambil feri ekspres ke Langkawi dan apabila tiba disini, pengangkutan seperti bas, teksi dan kereta sewa tersedia di Jeti Kuah.



Melalui Udara
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat terletak 20 kilometer dari Pekan Kuah dan 14 kilometer dari rumah peranginan tepi pantai di Pantai Cenang. MAS dan Pelangi Air menjalankan perkhidmatan harian dari Kuala Lumpur ke Langkawi secara terus atau melalui Pulau Pinang.

Untuk tempahan, sila hubungi :
MAS, Tel: (603)-7463000
Pelangi Air, Tel: (603)-7465524/7703405

 

Melalui Keretapi
Keratapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan yang selesa serta murah dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah dan Arau, Perlis. Dari Alor Setar atau Arau mereka bolehlah mengambil bas atau teksi ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis dan dari situ perkhidmatan feri ke Langkawi telah disediakan.

Untuk tempahan sila hubungi :
KTMB, Tel: (603)-2747435


Melalui Feri
Perkhidmatan feri berjadual dari Tanah Besar (Kuala Kedah dan Kuala Perlis) ke
Jeti Kuah di Langkawi ada disediakan.

Untuk tempahan sila hubungi :
Langkawi Ferry Service Sdn Bhd (Kuala Kedah) - Tel: (604)-7621201, Fax :
(604)-7623341
Samavest Sdn Bhd - Tel: (604)-9854440

 

 

Home  |  Top