Make your own free website on Tripod.com

Informasi Tempat Menarik Di langkawi

Taman Lagenda Langkawi
Makam Mahsuri
Galeria Perdana
Kuah
Kampung Air Hangat
Padang Mat Sirat
Telaga Tujuh
Tanjung Rhu
Pulau Dayang Bunting
Pulau Singa Besar
Taman Marin Pulau Payar
Under Water World Langkawi
Taman Buaya

Taman Lagenda Langkawi

Taman tema yang dikenali sebagai Lagenda Langkawi On The Park dibina bagi mengembalikan kegemilangan sejarah Langkawi. Taman ini akan menghidupkan kembali peristiwa-peristiwa yang penuh misteri serta lagenda yang penuh romantik yang menjadikan Langkawi sebagai Kepulauan Lagenda.Langkawi sebagai subjek utama kepada banyak sejarah dan lagenda indah terdiri dari gugusan 99 buah pulau. Cerita dongeng menyatakan Langkawi adalah tempat tinggal roh-roh manakala dalam Hikayat Merong Maha Wangsa sebuah buku kesusasteraan klasik menceritakan Langkawi adalah tempat rehat burung Garuda. 

Laksamana Cheng Ho, dari China, dalam pelayaran ke Melaka dalam tahun 1406 mencatatkan Langkawi dalam peta pelayarannya sebagai Lung-Ya-Kian-Yi manakala dalam peta yang dihasilkan dalam abad ke-16 Langkawi dinamakan dengan menggunakan banyak nama seperti Langka, Langu, Langura, Langa dan Langapura.  Taman tema yang indah dan cantik ini mempunyai lagun air tawar buatan manusia yang merangkumi kawasan seluas 50 ekar yang dibina diatas tanah tebus guna. Aliran air yang jernih turun ditengah-tengah kawasan membahagikan kawasan berbukit disebelah kiri dengan ukiran patung-patung lagenda disebelah kanan. Keindahan Selat Melaka dapat dilihat dari kawasan bukit yang tinggi atau Galeri Perayaan (Celebration Gallery) manakala kecantikkan kawasan laut dan pantai dapat dinikmati dari dua peghujung tanjung yang membentuk lagun di Pantai Lagenda.
Melangkah ke Lagenda Langkawi menjanjikan satu pengembaraan melalui sejarah dan pintu masa yang membawa kita ke zaman yang penuh kemeriahan kaya dengan lagenda dan dongeng tempatan.

 

Top

 

Makam Mahsuri (Mahsuri Mausoleum)
Makam Mahsuri terletak disebuah kampung 12 km dari pekan Kuah. Makam ini adalah satu penghormatan kepada seorang wanita baik yang tinggal di pulau ini lebih 200 tahun lalu. Akibat daripada tuduhan perlakuan sumbang yang tidak berasas dan tidak terbukti, beliau telah dihukum bunuh dengan menggunakan keris hikmat keluarganya. Tersebut dalam lagenda, darah yang keluar dari tubuh beliau berwarna putih sebagai bukti kebenarannya dan disaat akhir kematiannya, beliau telah bersumpah yang Pulau Langkawi akan mengalami malapetaka yang bertimpa dan tidak akan maju selama tujuh keturunan. Makam asal Mahsuri ini telah dibina atas inisiatif Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Persekitaran makam ini telah diperindahkan bagi mencerminkan kehidupan Mahsuri yang lampau.


Masa lawatan: 8.00 pagi - 5.00 petang
Bayaran masuk: RM 1.00

 

Rajah : Makam Mahsuri

 

Top

Galeria Perdana
Galeria Perdana adalah aspirasi kepada Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’  Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Yang Berbahagia Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Ia dibina untuk mengumpul, mempamer serta berkongsi semua penghargaan, cenderahati serta hadiah yang diberikan oleh pemimpin dunia kepada Perdana Menteri secara khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Semua penghargaan ini diterima sepanjang masa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.


Kuah
Kuah terletak di tenggara Pulau Langkawi adalah pusat pentadbiran dan merupakan pintu masuk kedatangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan feri. Nama Kuah berasal dari satu cerita lagenda yang membabitkan pertempuran dua gergasi dimana dalam pertempuran itu semua periuk belanga yang berisi masakan untuk satu majlis pertunangan telah pecah dan diterbalikkan. Tempat dimana kuah tersebut tumpah adalah dimana berdirinya pekan Kuah itu sekarang. Dari sebuah pekan kecil, kini Kuah menjadi pusat pentadbiran yang dipenuhi hotel-hotel moden dan kompleks membeli belah serta perniagaan. Namun begitu Kuah masih lagi bebas dari kesibukan dan kepadatan bandaraya moden. Dengan kemudahan bebas cukai, Kuah adalah pusat membeli belah dengan aneka pilihan yang tiada batasan.

 

Top
 

Kampung Air Hangat
Telaga Air Hangat juga wujud akibat pergaduhan dua gergasi yang sama. Diantara pinggan mangkuk serta periuk belanga yang pecah terdapat beberapa bekas yang digunakan untuk memasak air panas. Tempat dimana tumpahnya air panas tersebut mengasilkan telaga air panas yang wujud sekarang. Terletak dikawasan Telaga Air Panas seluas 4 ekar, terbina kompleks moden yang didalamnya terdapat 3 tingkat pancutan air panas, mural lukisan tangan diatas batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan lagenda disebalik kewujudan tempat ini, demostrasi harian tentang kraftangan tempatan dan tarian kebudayaan serta kedai-kedai yang menjual kraftangan. Terdapat juga kemudahan kedai makanan dan minuman yang menyediakan juadah tempatan disini. Kompleks ini terletak hanya 14 kilometer dari pekan Kuah.

Masa lawatan: 10.00 pagi - 6.00 petang.
Bayaran masuk: RM4.00
 

Top



Padang Mat Sirat
Padang Mat Sirat terletak 12 kilometer dari pekan Kuah. Selepas kematian Mahsuri, Langkawi telah diserang oleh Angkatan Tentera Siam. Rakyat tempatan telah membakar semua beras sebagai bekalan utama makanan bagi menghalang tentera Siam mendapat bekalan makanan untuk mereka. Diceritakan, mereka telah menanam beras tersebut didalam tanah sedalam 1 meter dan kesan beras terbakar tersebut masih lagi boleh dilihat hingga sekarang, lebih-lebih lagi selepas hujan. Tempat dimana beras terbakar itu dapat dilihat dinamakan Beras Terbakar dimana kebanyakan orang percaya boleh mengubat beberapa jenis penyakit.

Top


Telaga Tujuh
Terletak di Barat Laut Pulau Langkawi, 23 kilometer dari Pekan Kuah, Telaga Tujuh adalah keindahan dan keajaiban geografi dimana air terjun yang turun berasal dari tujuh punca air semulajadi yang berlainan. Hutan hijau yang merimbun mengelilingi air terjun tersebut menambahkan lagi sentuhan kedamaian kepada keindahan alam semulajadi. Lagenda ada menyatakan tempat ini adalah tempat pari-pari bersiram dan bermain-main. Kehadiran mereka dapat dirasa dan dikesan melalui bau yang menyenangkan ke seluruh kawasan sekitar.
 

Rajah : Telaga Tujuh

Top

Tanjung Rhu
Tanjung Rhu terletak disebuah tanjung di utara Pulau Langkawi dan jaraknya 20 kilometer dari Pekan Kuah. Oleh kerana pantai ini dipenuhi dengan pohon-pohon rhu maka ia dinamakan Tanjung Rhu. Terdapat sebuah pulau yang terletak berhampiran pantai ini yang boleh sampai dengan menyeberangi kawasan air yang cetek. Perjalanan menggunakan bot dari pulau ini, membawa kita ke satu tempat yang dinamakan Gua Cerita. Terdapat tulisan-tulisan lama yang masih tidak dapat ditafsirkan sepenuhnya menggambarkan misteri dan keasyikan lagenda lama.

Top

Pulau Dayang Bunting
Tasik Dayang Bunting terletak di sebuah pulau yang membawa nama yang sama iaitu Pulau Dayang Bunting. Pulau yang berukuran 800 x 350 meter ini adalah pulau yang terbesar diantara gugusan pulau-pulau di Langkawi. Tasik Dayang Bunting ini dikelilingi dari setiap sudut oleh cerun curam yang ditumbuhi sepenuhnya oleh pokok-pokok dan dipisahkan dari laut oleh satu rekahan kecil melalui timbunan batu kapur. Struktur Geografi yang membentuk bukit-bukiau serta batu-batan disekeliling tasik ini seolah-olah menggambarkan seorang wanita yang mengandung sedang tidur terbaring. Namun begitu, tasik ini diberi nama sedemikian kerana mengambilkira satu lagenda lama yang mengisahkan perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir dari perkahwinan mereka in telah mangkat selepas saja ia dilahirkan. Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini. Beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan tetapi telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat melahirkan anak. Dipercayai perempuan mandul akan dapat mengandungkan anak selepas mandi di tasik ini.
 

Rajah : Pulau Dayang Bunting


Top
 

Pulau Singa Besar - Taman Hidupan Liar
Pulau Singa Besar terletak di selatan Pulau Langkawi,16 kilometer dari Pekan Kuah dan mengambil masa 35 hingga 45 minit menggunakan bot. Monyet, kancil, iguana dan burung kakak tua adalah diantara fauna yang dibiarkan hidup bebas di kawasan lindungan binatang ini. Untuk mengekalkan habitat asli kepada kumpulan binatang ini, tidak ada hotel atau chalet yang dibenarkan dibina ini. Namun begitu, perkhemahan adalah dibenarkan dan peralatan perkhemahan boleh disewa dengan harga yang berpatutan.

Top


Taman Marin Pulau Payar
Taman Marin Pulau Payar adalah gabungan empat (4) buah pulau yang dipilih untuk pemeliharaan kecantikan dan keaslian terumbu karang dan hidupan disekitarnya. Terletak di lokasi yang menarik iaitu lebih kurang 3 jam perjalanan menaiki bot ke selatan Pulau Langkawi. Walaupun tiada kemudahan hotel yang disediakan namun perkhemahan adalah dibenarkan dengan kelulusan bertulis dari Jabatan Perikanan Kedah di Alor Setar atau Ibu Pejabatnya di Kuala Lumpur.
 

Rajah : Taman Marin Pulau Payar

Top

 

Underwater World Langkawi
Taman ini adalah tempat pameran marin yang mengabungkan semua jenis ikan dan kehidupan laut dari alam air tawar serta air masin. Terletak di sebuah pantai yang cukup popular iaitu Pantai Cenang, kompleks pameran hidupan air yang baru ini menjadi tumpuan utama pelancong dan mempunyai tidak kurang dari 5,000 jenis kehidupan marin seperti jerung, ikan pari, kerapu dan penyu. Dalam kompleks ini juga terdapat kedai makanan segera, arked membeli belah bebas cukai dan kedai yang menjual hasil perikanan kering seperti sirip jerung, sarang burung layang-layang, tiram dan siput lala.

Masa lawatan: 10.00 pagi - 8.00 malam
Bayaran masuk: Dewasa - RM10.00
Kanak-kanak - RM 6.00 (bawah 12 tahun)


Rajah : Underwater World Langkawi

Top


Taman Buaya
Taman ini terletak di Kubang Badak, 32 kilometer dari Pekan Kuah , yang merangkumi kawasan seluas 20 ekar. Di taman ini terdapat lebih kurang 1,000 jenis spesis buaya. Disini, pelawat boleh melihat serta mengambil gambar buaya serta aligator dengan jelas kerana semua binatang ini diletak dan dijaga dibawah satu persekitaran yang terkawal dan hampir menyamai habitat asal mereka.

Masa lawatan: 9.00 pagi - 6.00 petang
Bayaran masuk: Dewasa - RM5.00
Kanak-kanak - RM3.00

 

Home  |  Top