Informasi Tempat Rekreasi Di Kedah
![]()
Persisiran Ampang Jajar
Gunung Keriang
Taman Jubli Perak
Taman Merdeka
Persisiran Tanjung Chali
Kompleks Kolam Renang MPKS
Persisiran Tanjung Chali
Gunung Jerai
Tasik Pedu
Hutan Rekreasi Bukit Hijau
Pantai Merdeka
![]()
Persisiran Ampang Jajar
Persisiran Ampang Jajar terletak di jalan Lencong Barat bersebelahan dengan
ibu Pejabat Mada. Segala aktiviti sukan sungai akan diadakan di sini, contohnya
pertandingan lumba perahu sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah yang diadakan
setiap tahun, telah mendapat perhatian daripada rakyat
tempatan dan pelancong luar negara. Selain daripada itu pada hari biasa
pengunjung juga dapat melakukan aktiviti-aktiviti sungai yang disediakan seperti
berkayak, jet ski, luncur air dan sebagainya. Selain aktiviti sungai, ia juga
menyediakan tempat permainan kanak-kanak dimana ianya sesuai untuk
beristirehat bersama keluarga.

Rajah : Persisiran Ampang Jajar
Gunong
Keriang
Sebuah kawasan rekriasi di kaki Gunong Keriang ini amat terkenal kepada
penduduk-penduduk Alor Star kerana keindahan alam semulajadi dan kesegaran
udaranya. Kemudahan-kemudahan seperti taman permainan, taman burung unta (Ostra
Utara), tasik buatan manusia dan tangga pendakian disediakan untuk kemudahan dan
keselesaan para pengunjung. Kecantikan batu kristal yang terdapat disini juga
menarik para pengunjung untuk datang dan mendapatkannya.

Rajah : Gunung Keriang
Taman
Jubli Perak
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti berjogging, Taman Jubli Perak ada
menyediakan kawasan untuk pengunjung melakukan aktiviti berjogging dengan
dikelilingi pokok-pokok yang besar yang menghijau di mana pengunjung akan
merasakan seperti berada didalam hutan dan udara sekeliling yang nyaman akan
membuat pengunjung merasa lebih tenang. Selain daripada kawasan untuk
berjogging, terdapat padang Golf Diraja. Taman permainan juga disediakan bagi
golongan kanak-kanak. Pada waktu petang jalan-jalan disekitar Taman Jubli Perak
akan ditutup untuk keselamatan pengunjung.

Rajah : Taman Jubli Perak
Taman Merdeka
Taman Merdeka yang terletak bersebelahan dengan Stadium Darul Aman kira -
kira 5 km dari pusat Bandar Alor Star merupakan salah satu kawasan rekreasi yang
menarik terdapat di Alor Star. Kawasan yang dikelilingi oleh pohon -pohon yang
menghijau sesuai untuk beristirehat bersama keluarga. Taman ini juga ada
menyediakan tempat permainan kanak - kanak dan juga gerai - gerai
yang mengelilingi kawasan tasik.

Rajah : Taman Merdeka
Kompleks Kolam Renang MPKS
Kompleks Kolam Renang MPKS terletak di jalan stadium berhampiran Stadium
Darul Aman. Ia dibuka kepada orang ramai pada jam 8.15 pagi hingga jam 9.00
malam dan dikenakan bayaran sebanyak RM 2.00 bagi golongan dewasa, RM 1.00 bagi
kanak-kanak dan pelajar sekolah dikenakan separuh harga daripada harga orang
dewasa. Terdapat dua kolam utama iaitu kolam yang digunakan dalam pertandingan
renang untuk golongan dewasa dan sebuah lagi kolam untuk kanak-kanak. Antara
aktiviti yang dijalankan disini ialah kelas bimbingan renang bagi melatih orang
ramai yang tidak mempunyai asas untuk berenang.Selain daripada mengajar asas
untuk berenang, disini juaga diajar untuk menyelam di dasar laut dalam.

Rajah : Kompleks Kolam Renang MPKS
Persisiran Tanjung Chali
Persisiran Tanjung Chali terletak di Lebuhraya Sultan Abdul Halim berhadapan
Medan Raja. Ia sesuai untuk mereka yang suka kepada ketenangan disamping
persekitarannya yang bersih, udaranya segar dan dihiasi dengan landskap yang
menarik. Bagi mereka yang ingin melihat pemandangan Tanjung Chali dari atas,
mereka bolehlah menaiki menara yang telah disediakan. Pada waktu malamnya
pula ia diterangi dengan lampu-lampu hiasan yang menarik. Untuk menjamu selera,
mereka bolehlah ke Medan Raja yang menyediakan pelbagai hidangan. Jika ingin
menginap berhampiran pesisir sungai, mereka boleh berbuat demikian dengan
menyewa bilik di Flora Inn yang bersebelahan dengan Medan Raja di mana kedudukan
bilik berhadapan dengan sungai.

Rajah : Persisiran Tanjung Chali
Gunung Jerai
Salah satu tempat menarik semulajadi di Kedah ialah Gunung Jerai yang
terletak di antara sempadan daerah Kuala Muda dan Yan. Ketinggian Gunung Jerai
ialah 1,217 meter dan berdiri megah 1,200 meter di atas paras laut. Kemuncak
gunung ini memaparkan satu pemandangan yang indah lagi mengkagumkan.
Sebuah batu besar berbentuk sebuah kapal wujud di puncak gunung ini. Penduduk
tempatan disitu mengelarnya "Batu Kapal". Menurut lagenda, kapal tersebut adalah
kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa yang telah disumpah oleh Sang Kelembai
ketika Maharaja tersebut cuba melabuhkan kapalnya diPulau Serai, nama asal bagi
Gunung Jerai. Bagi pencinta alam semulajadi, tempat ini merupakan satu kawasan
yang paling sesuai untuk jungle tracking serta menikmati kehijauan dan
kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tropika. Kesejukan semulajadi air terjun merupakan
satu pengalaman baru yang sukar dilupakan terutamanya bagi yang datang dari
bandar yang ingin mencari suasana menyegarkan, jauh daripada suasana kehidupan
kota dan mendekatkan diri pada alam semulajadi.
Terdapat beberapa kemudahan-kemudahan
asas disediakan kepada pelawat-pelawat yang datang seperti telefon, tandas
awam, bilik sembahyang, dan rumah rehat bagi tujuan bermalam sebagai alternatif
kepada perkhemahan. Mereka yang bercuti juga digalakkan melawat Taman Bunga
Iklim. Di sini terdapat pelbagai bunga seperti bunga mawar, tulip, kiambang,
teratai dan banyak lagi
bunga-bunga lain yang cantik.
Tempat Penginapan :
Gunung Jerai Resort
Lebuhraya Gurun,
08300 Gurun,
Kedah Darul Aman
Tel : 04-4223345, 4223356
Faks : 04-7329788

Rajah : Gunung Jerai
Tasik Pedu
Tasik Pedu terletak di daerah Padang Terap, lebih kurang 90 km dari Alor
Setar. Anda boleh sampai ke tempat ini melalui jalan darat.Tasik Pedu merupakan
destinasi percutian yang baru bagi negeri Kedah. Terdapat beberapa aktiviti air
disini seperti memancing, jet ski dan menaiki bot. Persekitaran kawasan Tasik
Pedu juga menyediakan satu suasana yang menceriakan bagi pencinta hidupan liar.
Di sini juga terdapat beberapa tempat penginapan yang menawarkan pakej kembali
ke alam semulajadi, mengelilingi hutan tropika, flora dan fauna. Para pelawat
juga boleh mencari dan melihat sendiri bagaimana lebah hutan gergasi mengumpul
madu. Dalam perjalanan ke Tasik Pedu, anda akan melalui beberapa pekan-pekan
kecil, pemandangan yang cukup indah dengan kehijauan hutan hujan tropika. Tempat
Penginapan :
Holiday Inn Resort Tasik Pedu
K.B. No. 1, Pejabat Pos Kuala Nerang
06300 Kedah, Malaysia
Tel : 04-7304888
Faks : 04-7304888
Bagaimana hendak ke sana :
Dari Alor Setar terus menuju ke Timur melalui bandar-bandar Langgar, Pokok
Sena dan Kuala Nerang, seterusnya terdapat papan tanda yang mengarahkan anda ke
tempat yang dituju. Masa perjalanan adalah lebih kurang 1 ½ jam dari Alor Setar.
Jika anda dari Pulau Pinang dan Selatan, anda boleh mengambil persimpangan Gurun
di Lebuhraya Utara-Selatan dan terus ke Jeniang, Sik, Gulau dan Gubir untuk
sampai ke Desa Utara yang memakan masa lebih kurang 2 jam.

Rajah : Tasik Pedu
Hutan Rekreasi Bukit Hijau
Bukit Hijau merupakan satu lagi destinasi eko-pelancongan yang menarik.
Terletak 54 km dari Kulim, ia menjadi kebangaan tempat simpanan hutan hujan
tropika yang tertua di dunia. Ia juga dianugerahi dengan sebuah air terjun unik
7-tingkat, hanya satu-satunya yang terdapat dalam dunia dengan mengalirkan air
yang jernih, dingin lagi menyegarkan. Antara aktiviti-aktiviti yang terdapat di
sini termasuklah renang, perkhemahan dan menikmati keindahan flora dan fauna
bagi pencinta alam. Trek sejauh 9.3 km disediakan bagi mereka yang ingin mendaki
Gunung Inas setinggi 145 meter melalui hutan dara yang tebal. Para pelawat boleh
memilih untuk tinggal samada di calet atau khemah. Untuk maklumat lanjut sila
hubungi :
Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan,
Kulim
Tel : 04-4903760

Rajah : Hutan Rekreasi Bukit Hijau
Pantai Merdeka
Pantai Merdeka merupakan satu-satunya pantai percutian yang terletak di
tanah besar Negeri Kedah. Ia terletak di Daerah Kuala Muda, 60 km ke selatan
Alor Setar. Ia terkenal sebagai pantai percutian dan perkelahan bagi penduduk
tempatan dan negeri-negeri berdekatan seperti Pulau Pinang dan Perak Utara.
Kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini termasuklah calet, rumah rehat, tempat
perkhemahan, kolam renang dan tempat-tempat makan.
Berhampiran dengan pantai tersebut terdapat perkampungan nelayan seperti Tanjung
Dawai, Telok Nipah dan Kampung Pulau Sayak yang juga menjadi tempat tarikan
pelancong terutamanya pada hujung minggu. Selain daripada itu, terdapat satu
lagi daya tarikan bagi para pelancong berhampiran dengan pantai tersebut iaitu
muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Rajah : Pantai Merdeka