Make your own free website on Tripod.com

Informasi Tempat Menarik Di Kedah

Balai Seni Negara
Balai Besar
Balai Nobat
Muzium Diraja
Muzium Negeri
Muzium Padi
Masjid Negeri
Pekan Rabu
Rumat Tok Su
Rumah Sri Banai
Rumah Kelahiran YAB Dato Seri Dr. Mahathir Muhammad 
Langkawi

 

Balai Seni Negeri

Balai Seni Negeri mempamerkan lukisan-lukisan yang bermutu tinggi dari seluruh Malaysia dan beberapa pelukis luar negara. Warna-warna kanvas yang unik dilukis oleh pelukis ternama menghiasi dinding bangunan yang pernah digunakan untuk Mahkamah Tinggi, Jabatan Audit dan Perbendaharaan dan juga Pejabat Penasihat British sekitar tahun 1920-an. Kerajaan Negeri Kedah akhirnya menubuhkan Balai Seni Negeri ini pada tahun 1983 sebagai usaha memperkenalkan pelukis-pelukis tempatan seperti Dato' Ibrahim Hussein dari negeri Kedah yang telah mencipta nama di persada seni tanah air dan antarabangsa. Balai Seni Negeri menempatkan karya-karya seni merangkumi seni lukis, seni khat, arca serta kelas-kelas bimbingan seni.
 

Rajah : Balai Seni Negara

Top

 

Balai Besar
Terletak di tengah-tengah Medan Budaya ialah sebuah Balai Besar yang cukup indah. Ia merupakan gabungan keindahan senibina dan kehalusan kerja-kerja seni.  Ia dibina pada tahun 1898 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II (1710 1760) dan telah digunakan bagi mengendalikan upacara rasmi Raja-Raja dan  kerajaan. Dibina menggunakan kayu Cengal Emas, ia melambangkan kebanggaan  senibina ukiran berwarna keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya. Sejumlah
42 tiang utamanya terdiri dari kayu keras yang menjadi tonggak utama bangunan tersebut.
 

Rajah : Balai Besar

 

Top

Balai Nobat
Balai Nobat atau Pentas DiRaja dibina pada tahun 1907 semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Pada hari ini ia merupakan tempat simpanan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang hanya dimainkan pada upacara-upacara DiRaja seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja.  Alat muzik yang terdiri dari tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai ini mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang mengasyikkan yang dikenali sebagai muzik nobat, satu bentuk lagu kebudayaan negeri Kedah.

 


Rajah : Balai Nobat

Top

Muzium Diraja

Muzium Diraja atau dulu dikenali sebagai Istana Kota Setar didiami oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muadzam Shah II. Istana ini bersambung dengan Balai Besar adalah istana bagi sultan- sultan Kedah bersemayam, dan kini telah dijadikan Muzium Diraja dimana maklumat dan bahan -bahan koleksi diraja dipamerkan untuk tatapan umum serta dapat melihat dan mempelajari tentang Kesultanan Kedah iaitu Kesultanan yang tertua di Malaysia. Antara yang menarik ialah salasilah kesultanan Kedah serta gambar- gambar perkahwinan putera-putera dan puteri-puteri Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang telah diadakan pada tahun 1904.


Rajah : Muzium Diraja

 

Top

 

Muzium Negeri

Muzium Negeri terletak di Lebuhraya Darul Aman dan berhadapan Stadium Darul Aman menempatkan segala artifak sejarah yang dikumpulkan mengenai negeri Kedah. Ia termasuk artifak-artifak arkeologi yang dijumpai di Lembah Bujang iaitu pusat kebudayaan dan pentadbiran Kedah tua pada zaman dahulu kala dan penemuan artifak kebudayaan Kuala Kedah semasa pemerintahan kesultanan Kedah. Bahan -bahan koleksi yang menarik ini barsama artifak-artifak lain amat berharga bagi negeri Kedah dan penduduk tempatan kerana pelbagai maklumat yang penting dan penuh sejarah ini wajar ditatapi dan diketahui oleh pengunjung dan juga generasi yang akan datang.

 


Rajah : Muzium Negeri

Top

Muzium Padi

Muzium Padi yang dibina oleh pihak swasta dan kerajaan negeri ini terletak dikawasan Gunong Keriang dan dikelilingi oleh sawah padi iaitu tanaman yang amat penting kepada penduduk Malaysia. Muzium ini menempatkan pelbagai artifak-artifak penanaman padi yang lama dan baru. Pengunjung -pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana cara penanaman padi dilakukan serta perubahan-perubahan yang dialami oleh tanaman tersebut sejak dari semaian benih padi hinggalah menuai. Kemudahan-kemudahan chalet juga disediakan kepada pengunjung-pengunjung untuk menikmati kehidupan percutian ditengah-tengah sawah padi.
 


Rajah : Muzium Padi

Top

Masjid Negeri
Juga dikenali sebagai Masjid Zahir, ia merupakan satu lagi mercu tanda senibina dan antara masjid tercantik di Malaysia. Terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar, ia merupakan masjid rasmi negeri Kedah serta menjadi tempat sembahyang utama bagi orang-orang Islam. Ia menandakan kemuncak lambang senibina asli  rakyat Moor dan mempunyai lima kubah yang mencerminkan keunggulan Lima Rukun  Islam.  Pembinaan masjid ini adalah hasil ilham AlMarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II manakala pembinaannya bermula pada Mac 1912.
 

Rajah : Masjid Negeri

Top

Pekan Rabu

Pekan Rabu mendapat namanya apabila ia hanya dibuka untuk perniagaan pada hari Rabu sahaja di tebing Sungai Kedah berdekatan Tanjung Chali. Konsep perniagaan ini diilhamkan oleh seorang kerabat Diraja Kedah iaitu YTM Tunku Yaakob. Beliau telah mendapat inspirasi dari konsep perniagaan bazar yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab. Sekarang Pekan Rabu telah berubah wajah dan lokasi tetapi kemeriahan dan suasana peniaga-peniaga bangsa Melayu menjual pelbagai barangan menjadikan ia satu tempat yang mesti dilawati oleh setiap pengunjung ke bandar Alor Star.
 

 

Rajah : Pekan Rabu

Top

 

Rumah Tok Su
Tok Su atau nama sebenarnya Che Piah Mahmud, 70, mewariskan rumah ini daripada bapanya. Rumah ini diberi nama "Rumah Tok Su" sempena memperingati jasa baik beliau diatas persetujuan menyerahkan rumah ini untuk dipelihara sebagai warisan. Rumah ini telah mencecah usia 103 tahun. Rumah lama ini adalah yang pertama dipindahkan ke Kampung Warisan Melayu di Alor Star dari tapak asalnya di Bandar Bahru. Ini bertetapan dengan pembukaan Kampung Warisan Melayu yang diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang bertujuan bagi mengekalkan keunikan, keaslian dan pemuliharaan binaan seni bina rumah tradisional. Dapat dikatakan bahawa Rumah Tok Su ini jenis Bumbung Limas potongan Belanda.
 

Rajah : Rumah Tok Su

Top

Rumah Sri Banai
Rumah ini asalnya adalah kepunyaan Tuan Haji Saad Bin Taib, penghulu Mukim Pelubang dalam daerah Kubang Pasu. Dibina sekitar tahun 1920 an oleh tukang kayu yang bernama Tok Bakar dengan menggunakan kayu Meranti dan Tamak yang diambil dari hutan yang berdekatan. Selepas kematian Tuan Haji Saad, rumah ini didiami oleh isterinya iaitu Pn. Hajjah Saodah Binti Ahmad. Dibahagian bawah rumah ini pernah dijadikan bilik darjah sekolah rakyat. Guru yang mengajar ialah Cikgu Dahmad yang juga merupakan kerani kepada penghulu Tuan Haji Saad. Rumah ini kemudiannya dihadiahkan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ketika itu terletak di Bandar Darul Aman, Jitra. Apabila kampus universiti ini berpindah ke Sintok, rumah ini dipindahkan pula ke tapak yang ada sekarang.
 

Rajah : Rumah Sri Banai

Top

 

Rumah Kelahiran YAB Dato Seri Dr. Mahathir Muhammad
Disebalik rumah kayu yang ringkas ini lahirlah seorang tokoh yang disanjung tinggi oleh penduduk Malaysia dan juga dunia. Beliau adalah Y.A.B Dato Seri Dr. Mahathir Muhammad iaitu perdana menteri Malaysia yang ke-4. Jabatan Arkib Negara telah mengambil alih rumah ini dan dijadikan sebagai tempat lawatan bagi pengunjung untuk mengenali Y.A.B Dato Seri Dr. Mahathir Muhammad. Rumah ini mempunyai nilai sejarah yang besar kepada rakyat Malaysia kerana ia mempunyai maklumat mengenai Dr. Mahathir iaitu mengenai keluarganya dan zaman remaja beliau sehinggalah baliau menamatkan zaman bujangnya bersama Dato' seri Dr. Siti Hasmah Binti Mohd Ali.Ia terletak
di :-
No. 18, Lorong Kilang Ais,
Tepi Jalan Pegawai,
Seberang Perak,
Alor Setar.

Di dalamnya terdapat beberapa perabot dan perkakasan asal kepunyaan keluarga Perdana Menteri. Terdapat juga didalamnya khazanah yang menyingkap sejarah hidup YAB Dato Seri Dr. Mahathir dari zaman kecil hingga perkahwinannya.

Masa lawatan adalah seperti berikut :-
Sabtu Khamis : 9.00 pagi. 6.00 petang.
Jumaat : 9.00 pagi. 12.00 tgh / 3.00 6.00 petang

 

 
Rajah : Rumah Kelahiran YAB Dato Ser Dr. Mahathir Muhammad

 

 

 

Home | Top